GEORGE TOWN – Seorang wanita kecewa apabila kulit kepala anaknya berusia lapan tahun seperti melengkung didakwa selepas menjalani rawatan rambut gugur.
Dakwa wanita berusia 37 itu, dia sebelum itu membawa anak perempuannya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Semenyih, Selangor pada 29 Mac lalu dan kemudiannya telah dirujuk ke hospital swasta.
“Saya bawa anak ke klinik berhampiran rumah untuk mendapatkan pemeriksaan kulit kepalanya kerana terdapat bahagian botak pada kepala.
“Doktor di klinik itu mengesahkan anak saya mempunyai masalah Alopecia dan meminta kami mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital swasta di Selangor.
“Pada 4 April lalu, pakar dermatologi di hospital berkenaan ada membuat pemeriksaan ke atas anak dan telah memberikan sebotol ubat sapuan yang perlu disapu setiap dua kali sehari,” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun dakwanya lagi, setelah penggunaan ubat lebih sebulan dia mendapati tiada sebarang perubahan dilihat malah kulit kepala anaknya dikatakan menjadi seperti melengkung pada bahagian yang botak.
“Anak saya juga mengadu sakit kepala apabila tersentuh di kawasan tersebut. Pada 2 Mei lalu, saya ada berjumpa dengan pakar berkenaan semula dan telah menerangkan mengenai perkara yang berlaku,
“Pakar tersebut memaklumkan masalah yang berlaku pada anak adalah normal dan hanya menyuruh untuk berhenti menggunakan ubat tersebut sekali gus memberi tarikh janji temu baharu pada 4 Julai depan.
“Anak saya ketika ini masih merasa kesakitan pada bahagian tersebut dan saya kecewa perkara ini boleh berlaku,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














