NAMA legenda Singapura, Fandi Ahmad dianggap masih relevan sebagai calon pilihan untuk melatih Kuala Lumpur City bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Bagaimanapun, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), kelmarin hanya membincangkan tiga nama iaitu Sulaiman Hussin, S. Balachandran dan bekas pemain skuad Ibu Kota, Milomir Seslija.
Bagaimanapun, Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar berkata, pihaknya sentiasa ‘membuka pintu’ kepada Fandi, namun segalanya bergantung kepada masa depan Sri Pahang sama ada kekal di Liga M musim 2025/26 atau pun sebaliknya.
“Saya memang ada berhubung dengan beliau, tetapi Fandi Ahmad masih lagi terikat dengan Sri Pahang. Jadi, sekiranya Sri Pahang tidak meneruskan aksi di Liga Super, mungkin nama dia kita akan ketengahkan balik.
“Kita nak putuskan ketua jurulatih dulu, biar dia buat keputusan untuk pilih pemain yang akan datang. (Akan dimuktamadkan) dalam bulan ni sebab kontrak pemain KL City tamat pada hujung April, jadi dalam kadar segera kita kena putuskan siapa ketua jurulatih,” katanya.
Syed Yazid menjelaskan objektif utama adalah untuk membebaskan pasukan daripada masalah berulang babitkan isu tunggakan gaji dan hal ini menjadi pertimbangan utama sebelum membuat keputusan akhir tentang senarai lengkap The City Boys bagi bersaing dalam Liga M musim depan.
Menyentuh tentang hal perlesenan kelab, Syed Yazid memaklumkan secara dasarnya segala proses berjalan lancar dan pihaknya yakin KL City akan memperoleh lesen kebangsaan.