BANGKOK – Telefon pintar iPhone milik seorang pengawal keselamatan di wilayah Chonburi, Thailand, dicuri semasa dia tertidur ketika menjalankan tugas, lapor portal berita MSNews hari ini
Menurut portal berita Khaosod, rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kondominium tempat dia bertugas memaparkan seorang wanita berjalan masuk ke dalam premis sambil membawa beg tangan.
Selepas melihat pengawal keselamatan itu tidur lena, wanita itu dilihat mengambil telefon bimbit mangsa dan berlalu pergi.
Bercakap kepada Khaosod, pengawal keselamatan dikenali sebagai Boonreum dan berusia 64 tahun itu berkata, dia telah membuat laporan polis.
Jelasnya, dia bertugas sejak pukul 1 pagi (waktu tempatan) dan mengantuk selepas disengat penyengat sehari sebelumnya.
Dia mengambil ubat penahan sakit yang menyebabkannya tertidur. – AGENSI