DUA persahabatan menentang Cape Verde menjadi persiapan dan peluang terbaik buat pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menilai pemain terbaik untuk hadapi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun ini.
Persahabatan itu akan dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 29 Mei sebelum kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi dalam aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun.
“Ini sebahagian persiapan yang diatur skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan kedua Kumpulan F pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, 10 Jun 2025,” menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Terdahulu pada 25 Mac lalu, skuad Harimau Malaya memulakan kempen Kumpulan F dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim manakala Vietnam menewaskan Laos 5-0 di Stadium Binh Duong.
Tiket bagi menyaksikan perlawanan skuad Harimau Malaya menentang Cape Verde dan Vietnam ini, kedua-duanya akan dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula Isnin ini bermula jam 10:00 pagi.
Bagi perlawanan menentang Cape Verde akan diijual pada harga RM40 untuk tempat duduk terbuka dan RM5 bagi kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.
Bagi aksi menentang Vietnam akan dijual pada harga RM40 untuk tempat duduk terbuka, RM60 (Grandstand), RM70 (Premium) manakala kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun RM5.