ISKANDAR PUTERI – Sebuah kereta Perodua Axia dihimpit dua buah lori di Kilometer 4, Jalan Gelang Patah di sini pagi tadi rupanya dipandu secara melawan arus.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pemandu Perodua Axia iaitu lelaki tempatan berusia 26 tahun telah tampil membuat laporan polis.
Katanya, rakaman video berhubung kejadian itu turut didapati tular di media sosial.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi, lelaki terbabit telah memandu melawan arus sejauh 500 meter kerana tersalah masuk lorong untuk ke stesen minyak berhampiran.
“Pemandu tersebut juga telah melanggar sebuah kereta Toyota Vios sebelum terhimpit di antara dua buah lori,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, pihaknya meminta kedua-dua pemandu lori terlibat untuk tampil membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE