fbpx

Wanita terselamat, kereta menggelongsor jatuh Sungai Kelantan dari atas feri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita sempat keluar dari sebuah kereta yang menggelongsor dari atas feri di Pangkalan Pasir Kelang, Kuala Krai hari ini.

KUALA KRAI – Seorang wanita warga emas terselamat apabila sempat keluar dari sebuah kereta yang menggelongsor dari atas feri sebelum terjunam ke dalam Sungai Kelantan di Pangkalan Pasir Kelang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 60-an berjaya diselamatkan oleh suaminya yang menyedari kereta jenis Proton Saga itu tiba-tiba bergerak.

Pengerusi Feri Pasir Kelang, Mohamad Jaafar, 75, berkata, kejadian berlaku selepas pemandu kereta terbabit meninggalkan keretanya di atas feri itu untuk membayar tambang.

Menurutnya, lelaki itu menyedari keretanya bergerak sebelum berlari mencapai tali dan dilemparkan kepada isterinya yang sempat membuka pintu.

“Orang ramai turut membantu wanita itu daripada turut sama menggelongsor jatuh ke dalam sungai bersama kereta tersebut.

“Kereta itu dapat dibawa naik semula ke darat dengan menggunakan jentera berat kira-kira sejam kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohamad memberitahu, ia merupakan kejadian pertama yang berlaku di kawasan itu sejak perkhidmatan feri beroperasi di Pangkalan Pasir Kelang puluhan tahun lalu.

Difahamkan, kereta terbabit bergerak selepas wanita tersebut tertolak gear automatik kereta itu ke posisi neutral (N) selepas suaminya keluar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI