PETALING JAYA – “Tengah hari sibuk dekat dapur tiba-tiba terkejut dengar letupan kuat, rupanya ada lori terbakar.”
Demikian perkongsian seorang pengguna Fecebook, Norlizan Zan mengenai insiden kebakaran sebuah lori di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dekat Cheras, sebentar tadi.
Wanita itu turut berkongsi suasana insiden dari arah rumahnya yang berada berdekat dengan lokasi kejadian.
Menerusi video yang dimuat naik, aliran trafik kelihatan sesak di kedua-dua arah disebabkan terdapat lorong terhalang selain pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan kerana mahu melihat insiden kebakaran terbabit.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam laporan trafik terkini memaklumkan, kejadian tersebut berlaku di Kilometer 3.2 arah barat dari Cheras ke Taming Jaya.
“Kerja pemadaman sedang dilakukan. Lorong kanan sahaja dibuka. Trafik sesak,” lapor LLM. – KOSMO! ONLINE