TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan perbuatan khianat memecahkan pintu kaca bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, warga emas berusia 63 tahun itu ditahan selepas dilaporkan mengamuk dan merosakkan harta awam dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi.
Katanya, suspek yang bersenjatakan tukul besi itu turut bertengkar dengan kakitangan MPTI kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
“Berdasarkan siasatan, suspek datang ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal dan meletakkan kenderaan tersebut di hadapan bangunan MPTI.
“Lelaki itu kemudiannya bertindak memecahkan kedua-dua pintu kaca utama bangunan tersebut dengan tukul besi sebelum cuba meninggalkan lokasi namun sempat ditahan oleh kakitangan MPTI dan diserahkan kepada polis,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam keterangan suspek, dia menyatakan puncanya bertindak sedemikian kerana tidak puas hati dengan tindakan MPTI yang memasang khemah di hadapan kedainya di Jalan Bandar ketika perayaan Chitra Pournami yang disambut setiap tahun.
Katanya, tindakan PBT itu didakwa menghalang pandangan pelanggan ke kedainya yang menjalankan perniagaan membaiki jam.- KOSMO! ONLINE