KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Justin Hoh melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan apabila menyingkirkan pemain tuan rumah, Lin Chun Yi di pusingan kedua.
Pada perlawanan yang berlangsung di Taipei Arena hari ini, Justin mempamerkan aksi cukup dominan untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-18 dalam tempoh 46 minit.
Walaupun turun sebagai ‘underdog’, namun Justin membuktikan ranking hanya angka semata-mata apabila memberi tekanan kepada pilihan keempat itu, terutamanya ketika permainan di jaring.
Meskipun berdepan penyokong-penyokong tuan rumah, namun pemain No.45 dunia itu kekal tenang selain menampilkan aksi penuh fokus ketika diasak Chun Yi.
Momentum kemenangan itu diteruskan K. Letshanaa dalam acara perseorangan wanita selepas dia turut menewaskan pemain Taiwan, Chiu Pin Chian 21-19, 17-21, 26-24.
Menjelang aksi suku akhir esok, Justin dijadualkan menentang seorang lagi wakil tuan rumah, Wang Tzu Wei manakala Letshanaa berdepan pilihan kedua dari Korea Selatan, Sim Yu Jin. – KOSMO! ONLINE