KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah terlalu awal untuk memuktamadkan pembahagian kerusi antara BN Sabah dan Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya negeri itu tidak lama lagi.
Ahmad Zahid yang juga yang juga Presiden UMNO berkata, perbincangan menyeluruh mengenai perkara tersebut akan diadakan kemudian dan segala keputusan berhubung kerjasama politik di Sabah adalah bersandarkan ‘BN-PH plus’.
“Kita telah buat keputusan bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan mesti diperkuatkan di negeri itu (Sabah).
“Terserah kepada kepimpinan BN Sabah dengan panduan daripada pusat untuk mencari jalan paling bijaksana bagi menentukan dominasi kesepakatan untuk PRN17,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Francais ASEAN dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, pihaknya masih terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan parti politik termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, prinsip BN adalah ‘buka pintu seluas-luasnya dan tak tutup pintu serapat-rapat’.
“Ertinya masih ada ruang yang luas bagi jalinan kerjasama politik di Sabah,” katanya. – KOSMO! ONLINE