SEBERANG PERAI – Pemuda yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Seri Ampangan, Nibong Tebal di sini malam semalam ditemukan lemas selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hampir 10 jam, hari ini.
Mayat mangsa, V. Dinesh, 26, ditemui terapung pada jarak 50 meter, kira-kira pukul 5.05 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, kerja-kerja pencarian dilakukan dengan kaedah ‘Water Surface Searching’ dan teknik pusaran atau pusingan air (vortex).
“Kerja-kerja penyelaman juga dilakukan di lokasi kejadian dengan radius pencarian 10 meter.
“Mangsa telah dijumpai terapung pada jarak 50 meter dari lokasi mangsa terjun. Mangsa dibawa ke tebing sungai dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, petang tadi.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Seri Ampangan, kira-kira pukul 7 malam semalam.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan telah meninggalkan sebuah motosikal jenis
Yamaha Y15ZR di jambatan berkenaan. -KOSMO! ONLINE