JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan pengumuman ahli jawatankuasa masjid menggunakan pembesar suara yang meminta agar pemilik toyol segera bertaubat, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian berlaku di sebuah kampung di Klaten, wilayah Jawa Tengah.
Berdasarkan video yang dimuat naik oleh individu bernama Elgiend Rizky Tunjung di laman Facebook, pengumuman itu didengari dengan jelas.
“Saudara saudari sekalian. Saya meminta agar pemilik toyol bertaubat segera kerana apa yang anda ambil itu hak milik jiran tetangga,” katanya.
Elgiend berkata, dia sendiri yang membuat pengumuman itu di masjid kerana banyak kejadian wang hilang, dipercayai dicuri oleh toyol.
“Saya sendiri mengalaminya sebanyak lima kali. Beberapa penduduk juga mengadu kehilangan wang,” katanya.
Enggan menuduh sesiapa, Elgiend berkata, dia berharap usahanya itu dapat mengurangkan kes wang hilang di kampung tersebut. – AGENSI