fbpx

Peluang Inter tebus kecewa final 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FRATTESI (kanan) meledak gol kemenangan memastikan Inter mara ke pentas final UCL musim ini. - AFP

MILAN – Pemain gantian Inter Milan, Davide Frattesi muncul wira apabila meledak gol kemenangan memastikan kemaraan pasukannya ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menewaskan Barcelona 4-3 di separuh akhir kedua awal pagi semalam.

Kemenangan penuh dramatik di Stadium San Siro itu memastikan kejayaan 7-6 buat juara Itali tersebut selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sewaktu separuh akhir pertama di Stadium Olimpic Lluis Companys minggu lalu.

“Saya rasa seperti nak pitam kerana menjerit terlalu kuat. Kemenangan ini saya dedikasikan kepada semua staf fisioterapi yang bekerja keras membantu pemulihan saya,” kata Frattesi.

Inter terlebih dahulu meledak dua gol di babak pertama menerusi Lautaro Martinez dan Hakan Calhanoglu, namun Barcelona melakukan kebangkitan dengan tiga jaringan hasil penyudah Eric Garcia, Dani Olmo serta Raphinha.

Bagaimanapun, tonggak pertahanan veteran Inter berusia 37 tahun, Francesco Acerbi menyelamatkan perjuangan gergasi Serie A itu dengan gol penyamaan pada minit ke-90+3 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Frattesi yang masuk menggantikan Henrikh Mkhitaryan pada minit ke-76, muncul wira Inter apabila menyudahkan hantaran Marcus Thuram dengan rembatan lencong untuk mengesahkan kemaraan ke final di Munich.

“Kami bermain mengikut kemampuan pasukan walaupun lawan menguasai sepenuhnya aksi ini dari segi statistik seperti jumlah percubaan dan penguasaan padang.

“Para pemain berikan segala-galanya untuk Inter kembali ke pentas final. Mereka perlu menikmati saat ini buat seketika,” kata pengendali Inter, Simone Inzaghi.

Kini, Inter yang pernah menjuarainya pada edisi 2009/10, berpeluang menebus kekecewaan di pentas final dua musim lalu selepas tewas 0-1 kepada Manchester City pada 2023. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI