BANGKOK – Seorang pelancong dari Israel mengundang kecaman pengguna media sosial selepas bersikap biadab dan dengan angkuh menyatakan bahawa wangnya digunakan untuk membangunkan Thailand, lapor laman berita Pattaya Mail semalam.
Kejadian berlaku di sebuah kafe di Phuket pada 5 Mei lepas.
Menurut keterangan video yang dimuat naik di laman sosial, insiden berlaku apabila pelancong wanita tersebut enggan membuka kasut sebelum memasuki kafe.
Selepas berang didesak untuk membuka kasut, wanita itu berkata: “Duit saya digunakan untuk membangunkan negara anda.”
Video itu mencetuskan kemarahan pengguna media sosial Thailand, dengan mereka menganggap kenyataan tersebut sebagai tidak menghormati budaya masyarakat setempat.
Mereka turut mendesak campur tangan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pelancong tersebut.
Selepas insiden itu tular, pelancong berkenaan tampil mempertahankan tindakannya dengan berkata bahawa dia menerima banyak komen anti semitik.
“Hai, saya wanita dalam video itu. Pertama sekali, video itu telah disalah anggap. Niat saya adalah untuk mengatakan bahawa pelancong Israel membantu ekonomi Thailand,” katanya.
Bagaimanapun, orang ramai enggan menerima penjelasan itu, terutamanya ketika banyak insiden melibatkan pelancong Israel yang bersikap biadab dan mencetuskan masalah di Thailand. – AGENSI