IPOH – Tiga termasuk pasangan kekasih ditahan bersama 27.4 kilogram (kg) dadah bernilai RM4.6 juta dalam serbuan berasingan di Sitiawan dan Lumut pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan pertama pada pukul 7.30 pagi di sebuah rumah di Simpang Tiga, Sitiawan pada Isnin membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 28 tahun dan teman wanitanya berusia 24 tahun yang merupakan warga Vietnam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 15,342 gram selain 237 gram dadah sama dalam motosikal yang berada di hadapan rumah.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
“Susulan tangkapan tersebut, dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, pasukan serbuan kemudiannya dibawa ke sebuah pangsapuri di Taman Sejati, Sitiawan pada hari sama sekitar pukul 8.55 malam.
“Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 50 tahun dan merampas serbuk disyaki dadah jenis ketamin seberat 114 gram dan 50 biji pil eramin 5 seberat 13 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Noor Hisam berkata, pasukan serbuan juga melakukan serbuan ketiga dengan dipandu arah oleh kesemua suspek pada pukul 7.19 pagi keesokkan harinya di sebuah rumah di Desa Manjung Raya, Lumut.
Katanya, lokasi tersebut dipercayai digunakan sebagai tempat pembungkusan dan stor penyimpanan dadah. – KOSMO! ONLINE