WASHINGTON – Seorang pemilik rumah menembak dan membunuh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun semasa dia dan rakan-rakannya merakam aksi gurauan untuk kandungan di laman sosial, lapor saluran berita NBC News kelmarin.
Kejadian berlaku di Spotsylvania, negeri Virginia, baru-baru ini.
Kumpulan remaja terbabit berkata, mereka sedang merakam gurauan menekan loceng pintu dan melarikan diri apabila pemilik rumah membuka pintu dan melepaskan tembakan.
Pemilik kediaman, Tyler Chase Butler ditahan atas tuduhan membunuh tanpa niat dan menggunakan senjata api.
Menurut pihak berkuasa, mangsa yang dikenali sebagai Michael Bosworth Jr., meninggal dunia di hospita, manakala rakannya turut terkena tembakan dan masih dirawat di hospital. Remaja ketiga dalam kumpulan mereka tidak terkena tembakan.
Butler, 27, memberitahu polis bahawa dia percaya remaja itu cuba menceroboh rumahnya, demikian menurut saluran berita NBC 4 Washington. – AGENSI