BENTONG – Dipercayai merajuk selepas berselisih faham dengan neneknya, menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bertindak nekad melarikan diri daripada rumah sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, berdasarkan laporan, mangsa Nordiana Jeka,14, yang tinggal di Kampung Sungai Gabong di sini meninggalkan rumah pada pukul 3.15 petang Jumaat lalu.
“Berdasarkan laporan, mangsa meninggalkan rumah dengan berjalan tanpa memaklumkan apa-apa kepada pengadu (nenek mangsa).
“Pada sebelah malam kira-kira pukul 9 malam pengadu mencari mangsa di kawasan berhampiran dan sekitar Jalan Telemong di sini, namun mangsa masih belum ditemui sehingga kini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zaiham, keadaan fizikal mangsa adalah berkulit hitam manis dengan berat badan 60 kilogram dan tinggi kira-kira 150 sentimeter.
Katanya, pakaian terakhir mangsa ialah baju T lengan pendek berwarna merah dan berseluar jeans berwarna hitam.
“Hasil siasatan pihak polis dan maklumat orang awam pernah nampak mangsa berhampiran Projek Campsite Janda Baik di sini.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pusat kawalan daerah Ibu Pejabat polis Daerah Bentong di talian 09-2231999,” katanya. – KOSMO! ONLINE