JASIN – Seorang murid lelaki tahun 5 terpaksa menahan sakit selepas kakinya tersepit pada besi longkang di Sekolah Kebangsaan Jasin, di sini pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Penguasa Bomba Kanan II (TBK I) Azizul Ali berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.19 pagi melalui talian MERS 999.
Katanya, pasukan bantuan tiba di lokasi dua minit kemudian dan mendapati kaki kanan mangsa tersepit di celah besi longkang di kawasan sekolah berkenaan.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi melepaskan kaki mangsa dengan selamat dan tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.
“Operasi terkawal sepenuhnya pada pukul 12.02 tengah hari dan tamat seminit kemudian selepas memastikan lokasi selamat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujarnya, operasi tersebut melibatkan enam anggota serta sebuah jentera FRT.
Difahamkan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius, namun masih terkejut dengan kejadian yang berlaku. – KOSMO! ONLINE