fbpx

Misi Malaysia akhiri kemarau 34 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain sudah bersiap sedia menggalas cabaran negara pada Piala Asia di Stadium Titiwangsa bermula Sabtu ini. - PSM

SKUAD sepak takraw negara mahu menjadikan tahun ini sebagai misi serampang dua mata apabila tekad menamatkan kemarau 34 tahun kejuaraan ke atas Thailand dalam acara regu berpasukan pada saingan Piala Asia 2025 bermula Sabtu ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, perancangan skuad negara kali ini lebih tersusun dengan fokus diberikan kepada taktikal dan strategi demi membawa pulang gelaran kali terakhir dirangkul Malaysia lebih tiga dekad lalu.

“Insya-Allah, fokus kita cuba menjuarai acara regu berpasukan. Sudah berpuluh tahun kita tak menang. Kalau jadi juara, kita berjaya tamatkan kemarau acara berpasukan selama 34 tahun.

“Paling penting kita layak ke final dulu. Bila dah ke final, barulah fokus sepenuhnya pada taktikal dan strategi untuk menentang siapa saja lawan kita.

“Kita kena betul-betul fokus pecahkan tembok 34 tahun itu. Saya rasa peminat pun dah lama menanti saat ini untuk kita cuba menjuarai gelaran itu di bumi sendiri,” katanya selepas majlis pelancaran jersi baharu pasukan kebangsaan baru-baru ini.

Kali terakhir Malaysia mengatasi Gajah Perang adalah di Sukan SEA Manila 1991 dan peluang di halaman sendiri kali ini akan digunakan sebaiknya untuk menamatkan penantian lebih tiga dekad berkenaan.

Dalam masa sama, Sumali turut menjelaskan persiapan pasukan kali ini sedikit berbeza dan turut mengesahkan regu kedua telah dikenal pasti untuk persiapan acara berpasukan.

“Regu kedua yang kuat dah dikenal pasti. Cuma saya tak boleh umum lagi. Akan ada kejutan dan pembaharuan dari segi barisan skuad regu satu, dua dan tiga. Mungkin strategi akhir akan berubah bergantung kepada kesesuaian dan lawan.

“Kita nak tamatkan 34 tahun regu berpasukan. Kalau perlu ubah strategi, kita ubah. Yang penting kita tahu kekuatan lawan dan tahu kekuatan kita sendiri,” ujarnya.

Piala Asia 2025 akan diadakan di Stadium Titiwangsa dari 10 hingga 18 Mei ini dengan penyertaan beberapa pasukan utama termasuk Thailand, Korea Selatan, Vietnam, Iran dan Jepun bersaing dalam empat acara iaitu regu, kuadran, double dan regu berpasukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI