PETALING JAYA – Penggunaan tenaga kerja asing di Malaysia masih diperlukan bagi kebanyakan industri yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan Madani sentiasa komited untuk mencapai agenda ekonomi, namun memastikan setiap dasar dipatuhi.
“Kerajaan Madani tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Saifuddin Nasution berkata, beliau dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-13, Bil. 1 Tahun 2025 hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat itu mencapai beberapa keputusan penting termasuk majikan wajib hadir di pintu keluar antarabangsa semasa daftar keluar pekerja asing.
Kata beliau, kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan sekatan permohonan kuota dan urusan imigresen lain.
“Pertukaran majikan merentasi sektor penggajian kini dibenarkan selaras dengan amalan baik antarabangsa. Ini akan memberi manfaat kepada kerajaan, majikan dan pekerja asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE