PETALING JAYA – Malaysia bersedia muncul sebagai peneraju ekonomi digital global dengan kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk mencapai hasrat itu.
“Sewaktu mempengerusikan mesyuarat pertama, antara dibincangkan adalah potensi Malaysia sebagai hab utama dalam teknologi blockchain dan aset digital.
“Termasuk dalam sektor strategik seperti perdagangan rentas sempadan, industri halal dan kewangan Islam,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, antara fokus utama adalah penggunaan teknologi seperti tokenisasi, stablecoin, aset kripto, AI, analitik data raya dan pengkomputeran awan untuk memperkasa sektor kewangan digital yang lebih cekap, selamat dan inklusif.
Menurut beliau, teknologi-teknologi itu mampu memacu inovasi dalam struktur pasaran, mempercepatkan transaksi serta memperkukuh ketelusan dan pematuhan.
Justeru, katanya, beliau mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Dalam memastikan dasar yang menyokong pembangunan teknologi secarabertanggungjawab dan progresif,” katanya. – KOSMO! ONLINE