MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui tugas para pemainnya dalam saingan separuh akhir Liga Europa menentang Athletic Bilbao masih belum berakhir.
Biarpun selesa untuk aksi kedua di Old Trafford selepas mencatat kemenangan 3-0 di San Mames sebelum ini, aksi 90 minit terakhir itu bakal menjadi penentu dan United perlu berwaspada dengan sebarang kemungkinan.
United terdesak untuk kembali ke San Mames bagi aksi final Liga Europa dan meraih kejuaraan bagi menyelamatkan musim mereka yang teruk dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), malah kemenangan pada aksi final itu nanti adalah satu-satunya cara untuk mereka ke Liga Juara-Juara.
“Saya fikir semua pemain kini hanya menumpukan perhatian untuk aksi separuh akhir kedua nanti. Tempoh 20 minit pertama adalah sangat penting buat kami kerana perlawanan itu nanti pastinya sukar.
“Kami perlu sedar bahawa perlawanan ini sangat penting, kami memiliki tanggungjawab yang besar untuk memenangi Liga Europa. Kami perlu menyiapkan pasukan serta mentaliti untuk menghadapi aksi yang berbeza kali ini.
“Apabila kami berjuang untuk mendapatkan gelaran, ia merupakan tekanan berbeza. Saya tidak ragu-ragu untuk mengatakan bahawa kami ada peningkatkan dan semakin memahami gaya permainan yang diinginkan, cuma masa yang akan menentukan.
“Kami perlu berdepan cabaran, ya kami tewas dalam saingan EPL, tetapi fokus kami ketika ini adalah aksi Liga Europa dan awal pagi Jumaat ini adalah perlawanan yang sangat penting buat kelab ini,” katanya.
Ketika United tewas 3-4 menentang Brentford minggu lalu, mereka telah membuat lapan pertukaran dalam kesebelasan utama sekali gus dianggap menjadi punca mereka mencatat kekalahan ke-16 musim ini dan menghuni tangga ke-15 EPL setakat ini.
Selepas hanya memanaskan bangku simpanan ketika aksi menentang Brentford, United akan kembali mempertaruhkan khidmat ketua pasukannya, Bruno Fernandes pada aksi kali ini, namun kehilangan Matthijs De Ligt merencatkan sedikit perancangan Amorim.
Bagaimanapun, Amorim mampu menarik nafas lega apabila menyaksikan pemain sayapnya, Amad Diallo tidak menanti lama untuk kembali menemui sentuhan gol apabila meledak jaringan ketika aksi pertamanya di EPL selepas pulih daripada kecederaan ketika menentang Brentford.
Dalam pada itu, Mason Mount yang menamatkan kemarau gol juga memberikan lebih pilihan buat Amorim apabila tidak perlu untuk terlalu bergantung kepada Rasmus Hojlund untuk merobek gawang Bilbao. – AGENSI