KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan AI (kecerdasan buatan) yang akan dianggotai oleh pakar dari dalam dan luar negara serta pemain industri.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, majlis berkenaan akan menjadi satu entiti penasihat strategik dengan turut disertai tokoh pemikir dasar serta ahli akademik.
“Teknologi aset digital dan AI kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi global dan daya saing negara.
“Majlis Penasihat Aset Digital dan AI satu entiti penasihat strategik memainkan peranan penting meletakkan negara mampu menguasai teknologi ini lantas berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital dunia, ” katanya melalui taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Tunku Nashrul berkata, pemilihan keanggotaan majlis itu bagi memastikan pendekatannya bukan sahaja sejajar dengan amalan terbaik
antarabangsa, tetapi juga sesuai dengan konteks Malaysia.
Sementara itu, katanya, sektor swasta juga digalakkan melaksanakan
kerja dari rumah seperti sektor kerajaan bagi memastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
Menurut beliau, ia bagi mengurangkan tekanan terhadap kemudahan awam dan infrastruktur bandar dan membantu kelancaran logistik persidangan.
“Bagi menyokong kelancaran sidang, Kementerian Pendidikan akan mengumumkan pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di kawasan terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE