KAJANG – Sebuah lori yang membawa muatan tanah dilaporkan terbakar pada bahagian kepala kenderaan itu dalam kejadian di Taman Impian Ehsan berhampiran Jambatan Amerin Mall, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.08 tengah hari ini.
Menurutnya, seramai enam anggota serta sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kejadian itu mengakibatkan kemusnahan dianggarkan 60 peratus dan tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan penduduk, di sini, gempar susulan bunyi letupan berpunca daripada kebakaran membabitkan sebuah lori di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK). – KOSMO! ONLINE