STOCKHOLM – Seorang wanita didakwa di mahkamah Sweden kerana melakukan gangguan disebabkan jenaka memecahkan telur pada dahi anaknya, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Ibu berusia 24 tahun dari bandar Helsingborg itu memuat naik video memaparkan perbuatannya di platform TikTok pada musim panas tahun lalu.
Video itu menunjukkan dia memberitahu anak perempuannya bahawa mereka akan memasak kek epal bersama-sama.
Dia secara tiba-tiba memecahkan telur pada dahi anaknya, menyebabkan kuning telur memenuhi muka kanak-kanak tersebut.
Anaknya kemudian memberitahu bahawa dia berasa sakit serta meminta ibunya berhenti ketawa.
Video itu menerima lebih 100,000 tontonan di TikTok, namun seorang pengguna media sosial membuat laporan polis kerana berpendapat tindakan tersebut adalah satu bentuk kekerasan terhadap kanak-kanak.
Wanita berkenaan memberi alasan bahawa ia adalah trend tular di TikTok, di mana ibu bapa di seluruh dunia membuat perkara serupa.
Tambahnya, tindakan itu adalah satu bentuk gurauan.
“Apabila saya melihat video itu, saya berfikir, ‘anda tidak boleh berbuat demikian kepada kanak-kanak’.
“Merakam dan memalukan kanak-kanak dan kemudian menyiarkannya kepada beribu-ribu penonton, ia amat memalukan dan ini adalah pendapat peribadi saya,” kata pendakwa raya Cecilia Andersson kepada wartawan.
Mahkamah Daerah Helsingborg bulan lalu mendapati bahawa wanita itu bersalah kerana melakukan kekerasan terhadap anak perempuannya.
Dia diarah membayar pampasan sebanyak 20,000 krona Sweden (RM9,000) kepada kanak-kanak itu. – AGENSI