LONDON – Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner menjangkakan pasukan McLaren bakal berdepan lebih banyak siasatan dan persoalan teknikal berikutan dominasi luar biasa mereka dalam saingan Formula Satu (F1) musim ini.
Selepas memenangi lima daripada enam perlumbaan, termasuk kemenangan berganda di Grand Prix (GP) Miami hujung minggu lalu, McLaren kini mendahului 105 mata di hadapan Mercedes selaku pencabar terdekat.
Di Miami, Oscar Piastri menamatkan perlumbaan di depan rakan sepasukan, Lando Norris dan lebih mengejutkan, pelumba Mercedes, George Russell yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, ketinggalan lebih 30 saat di belakang duo McLaren.
“Saya tidak menuduh ada sesuatu yang tidak sah (pada jentera mereka). McLaren memang beraksi di tahap berbeza.
“Tetapi dalam F1, bila anda berada di depan, anda pasti disiasat. Dulu mereka pun persoalkan sistem komponen depan kami,” tegas Horner.
Tumpuan kali ini lebih terarah kepada pengurusan suhu tayar McLaren yang dilihat lebih efisien berbanding pasukan lain.
Malah, dakwaan bahawa mereka menggunakan air untuk menyejukkan tayar kembali menjadi perbualan, meskipun tiada sebarang aduan rasmi difailkan.
Sementara itu, ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff turut memuji keberkesanan pendekatan McLaren dalam pengurusan tayar mereka setakat ini
“Jentera mereka pantas tanpa memanaskan tayar secara berlebihan. Kami perlu belajar daripada mereka dan mencari cara untuk menyaingi mereka,” kata Wolff. – AGENSI