LIVERPOOL – Masa depan Harvey Elliott bersama Liverpool terus menjadi tanda tanya selepas pemain tengah itu mengakui sedang menilai opsyen terbaik buat kariernya menjelang musim depan.
Pemain berusia 22 tahun itu hanya sekali diturunkan dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini meskipun sering disebut sebagai antara bakat terbaik akademi The Reds.
Beberapa kelab EPL termasuk Wolves kini mula menunjukkan minat terhadap pemain England itu yang diletakkan tanda harga melebihi £40 juta (RM225 juta) oleh Liverpool.
“Saya cintakan kelab ini dan mahu kekal, tapi saya juga perlu fikir masa depan. Semua bergantung pada jurulatih dan pihak atasan,” kata Elliott.
Musim ini, Elliott beraksi dalam 25 perlawanan, namun 20 daripadanya dari bangku simpanan, selain mencetak empat gol dan dua bantuan jaringan, kebanyakannya ketika pasukan dalam kedudukan tertekan.
Antara detik menonjolnya termasuk bantuan gol kepada Federico Chiesa dalam final Piala Carabao serta gol kemenangan ke atas PSG di Perancis, namun kedua-duanya berakhir dengan kekalahan buat Liverpool.
“Kadang-kadang saya masuk ketika pasukan sedang ketinggalan atau seri, memang sukar nak memberi impak penuh,” jelasnya lagi. – AGENSI