PETALING JAYA – Citaglobal Bhd (Citaglobal) melalui anak syarikatnya, PT Citaglobal Internasional Capital (CGIC) telah memeterai Perjanjian Induk (HoA) bersama Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Jawa Timur (PWMJT) bagi meneroka pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi dan tenaga boleh diperbaharui di rangkaian hospital, sekolah dan universiti kendalian Muhammadiyah di wilayah itu.
Perjanjian tersebut merangkumi sasaran awal bagi pelaksanaan perintis kira-kira 250 menara telekomunikasi dan kapasiti tenaga solar sebanyak 5 megawatt (MW) di beberapa hospital, sekolah dan universiti terpilih.
Inisiatif perintis ini bertujuan untuk meningkatkan capaian digital dan tenaga bersih dalam ekosistem institusi PWM Jawa Timur, sekali gus menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang yang lebih meluas.
Kedua-dua pihak menyasarkan untuk menyiapkan kajian kemungkinan yang berkaitan serta memulakan pelaksanaan projek perintis dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian dimeterai, tertakluk kepada penilaian teknikal dan komersial.
Pengerusi Eksekutif Citaglobal Berhad, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Indonesia merupakan pasaran pertumbuhan utama di rantau ini dan syarikat komited untuk memainkan peranan jangka panjang dalam transformasi infrastrukturnya.
Menurut beliau, Jawa Timur, dengan populasi melebihi 44 juta, menawarkan platform institusi yang kukuh dan titik permulaan yang signifikan untuk memasuki pasaran Indonesia yang lebih luas.
“Menerusi kerjasama ini, kami memperkenalkan penyelesaian infrastruktur yang menggabungkan telekomunikasi, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan fasiliti dalam cara yang berakar pada nilai sosial dan mantap dari sudut teknikal.
“Legasi perkhidmatan PWM Jawa Timur selari dengan nilai yang kami pegang. Inisiatif perintis ini bukan sahaja mempunyai potensi komersial, malah mencerminkan visi bersama untuk memperkasa masyarakat dan mencipta impak yang berkekalan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Perjanjian ini sah selama setahun dan boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama.
CGIC dan PWM Jawa Timur akan terus bekerjasama rapat untuk merangka model pelaksanaan yang responsif terhadap keperluan tempatan, kukuh dari segi kewangan dan selari dengan matlamat pembangunan jangka panjang. -KOSMO! ONLINE