LONDON – Arsenal dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Lee Kang-in pada harga lebih rendah menjelang jendela perpindahan musim panas ini.
Pemain Korea Selatan berusia 24 tahun itu sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Emirates pada Januari lalu, namun minat terhadapnya kembali meningkat selepas disenaraikan PSG sebagai pemain yang akan dilepaskan.
Menurut laporan, Kang-in tidak berpuas hati dengan minit permainan yang diberikan Luis Enrique dan sudah mula mencari pasukan baharu bagi menghidupkan semula kariernya.
Kang-in menyertai PSG dari Mallorca pada 2023, namun selepas dua musim dia masih gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama dan musim ini dia hanya membuat 18 penampilan liga, sama seperti musim pertamanya.
Enrique meletakkan Kang-in dalam pelbagai posisi dari pemain sayap, tengah hingga peranan di belakang penyerang, namun versatiliti itu belum cukup untuk memastikan tempat tetap buat pemain yang pernah beraksi bersama Valencia itu.
Difahamkan, perpindahan itu boleh dimuktamadkan dengan cepat memandangkan PSG berhasrat menjual dan The Gunners pula mahu memperkuat bahagian tengah lebih awal sebelum memulakan jelajah pramusim ke Singapura dan Hong Kong. – AGENSI