fbpx

‘Afreena tak mengaku ada rujuk, kes jadi makin panjang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hakim Syarie menetapkan 1 dan 3 Julai depan sebagai tarikh sambungan perbicaraan untuk pengesahan lafaz taklik yang difailkan Along sebagai plaintif. - FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Rumah tangga pelawak Along Cham terus berdepan jalan berliku apabila prosiding pengesahan lafaz cerai bersama isteri, Afreena Suhaimi, terpaksa disambung ke tarikh lain berikutan wujud pertikaian tentang lafaz rujuk.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa Afreena cuba memanipulasi keadaan apabila enggan mengakui wujudnya lafaz rujuk antara mereka selepas berlaku cerai luar mahkamah.

“Sebelum ini, dia pernah beritahu media mahu percepatkan kes, tetapi apa yang berlaku sekarang, dia pula tak mengaku. Akhirnya, kes jadi makin panjang.

Dia tahu apa yang dia buat. Sepatutnya mengakulah saja, jadi semuanya boleh selesai hari ini. Disebabkan dia tak mengaku ada rujuk, kes terpaksa dibicarakan lagi. Itu yang membuatkan saya rasa sangat kesal,” katanya kepada Kosmo! Online.

Hakim Syarie menetapkan 1 dan 3 Julai depan sebagai tarikh sambungan perbicaraan untuk pengesahan lafaz taklik yang difailkan Along sebagai plaintif.

Menurutnya, kelewatan menyelesaikan kes turut mengundang pelbagai spekulasi daripada masyarakat.

“Kalau boleh, saya memang nak selesaikan hari ini juga. Bila perkara ini berlarutan, terlalu banyak spekulasi dan kecaman netizen yang saya perlu hadap.

Banyak perkara yang dia cuba manipulasi. Saya masih berpegang bahawa kami ini suami isteri yang sah. Kalau saya betul-betul zalim, banyak tindakan yang saya dah boleh ambil.

“Disebabkan peguam banyak beri nasihat, jadi saya ikut peraturan dan tunggu saja proses mahkamah,” ujarnya selepas perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai taklik yang difailkan terhadap Afreena pada Khamis.

Along juga menjelaskan mentalnya terkesan apabila usaha rujuk sebelum ini tidak diendahkan malah dinafikan oleh Afreena.

“Saya pernah rujuk semula pada Jun tahun lalu. Tapi selepas rujuk, dia buat penipuan lagi. Mana tak naik darah saya? Sebab itulah lafaz taklik berlaku, dan lafaz itu pun dia tak mahu mengaku sampai sekarang.

“Disebabkan banyak perkara dia tak mahu mengaku, perbicaraan pun jadi makin panjang.

Tipulah kalau saya kata mental saya tidak terganggu. Siapa yang berkahwin mahu bercerai? Tapi saya bersyukur kerana dalam kesempitan ujian ini, Allah tetap permudahkan urusan saya,” katanya dalam nada kecewa.

Terdahulu, Along hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang sekitar pukul 11 pagi ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir serta peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan.

Difahamkan, kes pengesahan lafaz cerai taklik itu sepatutnya didengar pada 10 Mac lalu namun ditangguhkan selepas mahkamah mendapati wujud kekeliruan dokumentasi.

Untuk rekod, pasangan tersebut bernikah pada 4 April 2023 namun diuji seawal dua bulan selepas mendirikan rumah tangga.

Konflik mula memuncak selepas Along mendakwa Afreena telah melanggar tiga perkara penting dalam perjanjian perkahwinan sehingga menyebabkan jatuhnya lafaz taklik.

Sebelum ini, Along pernah berkahwin dengan penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia, Zila Seeron pada Januari 2010 sebelum bercerai pada Ogos 2016. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI