fbpx

8 individu disyaki culik Pamela naik lima kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pamela

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya lapan individu dan lima buah kenderaan dipercayai terlibat dalam kes penculikan Datin Seri Pamela Ling pada 9 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kesemua individu terbabit dikesan menaiki Toyota Camry, dua Nissan Teana, Nissan Almera dan Perodua Myvi.

Katanya, kenderaan e-hailing dinaiki Pamela dikesan dipintas oleh Toyota Camry, Nissan Teana dan Nissan Almera dan dua lagi dipercayai untuk menghalang lalu lintas.

Menurut Rusdi, siasatan mendapati kesemua kenderaan terbabit menggunakan nombor plat klon.

“Kita telah mengesan dan memanggil pemilik asal kenderaan yang untuk dirakam keterangan.

“Mereka memaklumkan bahawa kenderaan terbabit ketika hari kejadian ada bersama mereka (pemilik asal) di Kelantan, Selangor dan Pahang, ” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas sama ada Pamela dilarikan oleh polis atau individu menyamar pihak berkuasa, Rusdi berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan sepenuhnya berkaitan dakwaan terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiada sebarang operasi dijalankan oleh Polis Kuala Lumpur pada hari kejadian.

“Pakai vest memang biasanya digunakan oleh PDRM dalam operasi tertentu. Kita tidak akan menggunakan vest ini kalau nak sembunyikan identiti kerana akan terganggu operasi.

“Tetapi dalam kes ini mereka pakai vest dan (ia) boleh dipakai oleh orang lain (orang awam). Kalau pergi ke mana-mana tempat boleh dibeli. Jadi berhubung ini (dakwaan) kita akan buat pemeriksaan sepenuhnya,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan mengenai dakwaan Pamela dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan semasa kejadian juga turut mengambil kira CCTV di tempat kejadian.

Pamela, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan SPRM, Putrajaya sekitar pukul 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang pada 9 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI