PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan dua pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan seorang orang awam dalam satu operasi yang dijalankan semalam di Putrajaya.
SPRM dalam kenyataan berkata, ketiga-tiga individu tersebut ditahan antara pukul 1 tengah hari hingga 5 petang bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berkaitan dengan urusan mempercepatkan permohonan pengesahan taraf warganegara (PTW).
“Pada masa ini, ketiga-tiga individu sedang dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan lanjut.
“Operasi ini adalah lanjutan daripada Op Outlander yang baru-baru dijalankan SPRM,” jelas suruhanjaya itu.
SPRM memaklumkan bahawa pihak KDN telah memberikan kerjasama penuh dalam pelaksanaan siasatan kes ini. – KOSMO! ONLINE