GEORGE TOWN – Sebanyak dua buah gerai haram yang dikendalikan warga asing di Daerah Barat Daya negeri ini diroboh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), hari ini.
Menerusi kenyataan MBPP di facebook, kedua-dua premis berkembar tersebut telah disewakan kepada warga asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
Tindakan tegas penguatkuasaan turut meliputi sitaan peralatan perniagaan mengikut notis yang telah dikeluarkan berdasarkan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja-penjaja MPPP 1979.
“Bagi tindakan perobohan struktur tanpa kebenaran adalah berdasarkan Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya di sini hari ini.
Menurut MBPP, operasi tersebut diterajui Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti.
Ia turut disertai pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis.
“MBPP akan terus memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana premis perniagaan terutama gerai-gerai makanan yang disewakan kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE