fbpx

Wanita maut tercampak di Kesas lepas bertengkar dengan suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak polis ketika berada di lokasi kejadian, semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang juga suami kepada mangsa wanita maut selepas tercampak keluar daripada sebuah van di tepi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), berdekatan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, lelaki berusia 50 tahun bekerja sebagai penghantar barangan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong.

Katanya, tangkapan terhadap suspek dilakukan sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada pukul 6 petang semalam.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dengan kes yang sedang disiasat. Suspek menyatakan telah berlaku pertengkaran mulut dengan isteri ketika dalam perjalanan balik ke rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aidil, mangsa berusia 44 tahun itu telah mendirikan rumah tangga selama 20 tahun bersama suspek serta mempunyai dua orang anak.

“Suspek juga didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan dadah,” ujarnya.

Jelasnya, saringan ujian air kencing ke atas suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine.

“Siasatan awal turut mendapati mangsa (isteri suspek) dipercayai turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Aidil berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Semalam, Kosmo! melaporkan, seorang wanita tercampak keluar daripada van sebelum kenderaan itu memecut melarikan diri dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas hospital. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI