MANCHESTER – Chelsea perlu menyediakan dana sebanyak £65 juta (RM362.99 juta) untuk merealisasikan impian mereka mendapatkan khidmat pemain sayap Manchester United, Alejandro Garnacho.
Chelsea cuba untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Argentina itu pada jendela perpindahan Januari lalu, namun gagal mencapai persetujuan.
Bagaimanapun, kelab dari London itu masih menunjukkan minat yang kuat mendapatkan Garnacho dan bersedia untuk mencubanya sekali lagi pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Garnacho yang turut menarik minat Napoli terbuka untuk meninggalkan Old Trafford apabila berdepan kesukaran untuk menembusi kesebelasan utama skuad kendalian Ruben Amorim, namun pengendali Chelsea, Enzo Maresca bersedia memberinya peluang lebih besar.
Pemain tersebut yang memiliki kontrak bersama United sehingga 2028 tidak akan dijual pada harga yang murah, namun pemilik bersama kelab itu, Sir Jim Ratcliffe sedia mempertimbangkan tawaran sekiranya harga yang dikemukakan dianggap munasabah.
United ketika ini sedang berusaha untuk meningkatkan dana pasukan itu bagi membolehkan Amorim mendapatkan beberapa lagi pemain baharu yang diinginkan bagi memulihkan prestasi pasukan itu pada musim depan.
Ketika ini, hanya empat pemain, Bruno Fernandes, Harry Maguire, Amad Diallo dan Patrick Dorgu yang tidak akan dilepaskan pada sebarang harga. – AGENSI