MELAKA – Pasangan suami isteri muda direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki mendera bayi lelaki mereka berusia dua bulan sehingga mangsa parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.
Perintah reman sehingga 13 Mei itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Ayer Keroh, Haderiah Siri terhadap suspek yang masing-masing berusia 22 tahun bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.15 pagi dengan diiringi anggota polis.
Kosmo! semalam melaporkan pasangan muda itu ditahan sepasukan polis pada pukul 6.30 petang selepas menerima laporan daripada pihak Hospital Melaka memaklumkan seorang bayi lelaki disyaki menjadi mangsa dera.
Terdahulu, mangsa yang berusia dua bulan telah dihantar ke Hospital Alor Gajah pada Isnin lalu oleh suspek wanita iaitu ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Suspek turut memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa bayinya diserang sawan sebelum meninggalkan mangsa di Hospital Melaka sejak pukul 1 pagi tanpa sebarang pemantauan.
Hasil pemeriksaan, mangsa didapati mengalami pendarahan lama dan baru di dalam kepala, selain kesan lebam serta luka-luka di badan dan leher disyaki akibat didera.
Menurut sumber, kecederaan pendarahan dalam kepala yang dialami bayi berkenaan dipercayai disebabkan perbuatan suspek wanita yang telah menghempas mangsa ke lantai bilik air ketika memandikannya.
Tambahnya, hasil soal siasat, suspek lelaki turut mengakui telah menumbuk mangsa gara-gara tidak tahan bayi tersebut kerap menangis. – KOSMO! ONLINE