fbpx

Setiausaha Wanita DAP Selangor buat bising di balai polis, kekal bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nalina (kiri) bersama peguamnya selepas prosiding kes di Mahkamah Tinggi, hari ini.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair Rama Krishnan kekal dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan membuat bising di sebuah balai polis empat tahun lalu.

Ia apabila pihak pendakwaan selaku perayu memaklumkan pihaknya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskan Nalina, 36, pada prosiding lalu.

“Pihak kami menarik balik rayuan,” kata Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Mendengar perkara itu, peguam Farida Mohamad yang mewakili Nalina selaku responden memaklumkan pihaknya tiada bantahan berhubung penarikan rayuan pendakwaan itu.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Muhammad Jamil kemudian membatalkan rayuan pendakwaan itu.

“Rayuan pendakwa raya dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, Nalina ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya merakamkan setinggi penghargaan kepada pasukan peguamnya.

“Keputusan ini adalah hasil usaha gigih mereka (pasukan peguam) dan juga milik semua yang terus mempertahankan hak asasi dan kebebasan rakyat,” katanya.

Pada 10 Ogos 2023, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Nalina terhadap pertuduhan itu.

Majistret Nadia Othman memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ktertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Nalina didakwa melakukan perbuatan itu di lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pukul 9 malam pada 19 Ogos 2021.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan bermula 5 Disember 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI