JEREZ – Fabio Quartararo memberi petanda kebangkitan Yamaha musim ini apabila berjaya berada di podium Grand Prix (GP) Sepanyol bulan lalu hasil kemasukan bekas tenaga teknikal Ducati, Max Bartolini sebagai pengarah teknikal baharu pasukan itu.
Pelumba Perancis itu yang bermula dari petak utama tampil cemerlang di Jerez, menewaskan beberapa nama besar termasuk Francesco Bagnaia dan Marc Marquez untuk menamatkan perlumbaan di tangga kedua.
Quartararo turut memberi amaran kepada pencabar bahawa jentera Yamaha kini semakin berkuasa selepas menerima naik taraf enjin inline-4 dalam ujian baru-baru ini sementara enjin V4 masih dalam pembangunan.
“Kami belum gunakan enjin V4 lagi. Tapi ini pun dah cukup kuat, lebih baik daripada jentera saya bawa ke P2 di Jerez,” katanya yang kini bersedia untuk menghadapi GP Perancis di Le Mans hujung minggu ini.
Penampilan podium di Jerez juga mendapat pujian daripada Bagnaia yang mengakui Quartararo beraksi hebat meskipun jentera Yamaha masih belum setanding Ducati dari segi kelajuan di jalan lurus.
“Bezanya sekarang? Ia terletak pada pelumba,” kata pengulas F1 dan bekas juara dunia, Neil Hodgson yang memuji keberanian dan strategi Quartararo dalam fasa awal perlumbaan.
Pemerhati turut melihat perpindahan Bartolini ke Yamaha sebagai titik perubahan yang bakal membuka lebih banyak ‘rahsia’ teknologi Ducati untuk memperkuat jentera itu dalam jangka masa panjang.
Kini, tekanan dan harapan pastinya tinggi untuk Quartararo meneruskan rentak di hadapan penyokong sendiri selain membawa pulang kejayaan buat Yamaha di Le Mans nanti. – AGENSI