PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi bagi mengangkat Nurul Izzah Anwar untuk memikul tanggungjawab Timbalan Presiden bagi pemilihan sesi 2025-2028.
Ketua Cabang Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PKR Wilayah Persekutuan mempunyai keyakinan teguh bahawa Nurul Izzah bakal menerima sokongan padu selaku figura utama yang akan memberi nafas baharu dalam menguatkan jentera parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang akan datang.
Jelasnya, gelaran Puteri Reformasi dinobatkan kepada beliau yang sekian lama berdiri di atas kaki sendiri menempa nama sebagai pemimpin parti yang sebati dengan liku-liku perjuangan memberikan Nurul Izzah pengalaman luas mengemudi bahtera parti.
“Sebagai penggerak utama kempen Ayuh Malaysia, beliau berjasa besar menghidupkan semangat anggota di seluruh negara serta menjadi watak pendamai bagi menyatukan Keadilan sebagai satu keluarga besar yang akhirnya berjaya merealisasikan kemenangan parti untuk memerintah negara pada hari ini.
“Sokongan ini bukanlah atas nama hubungan atau nostalgia sejarah perjuangan semata, tetapi atas keyakinan terhadap kapasiti dan integriti beliau sebagai pemimpin masa depan parti,”katanya pada hantaran di laman Facebook.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, parti itu memerlukan sosok seperti Nurul Izzah yang mempunyai diplomasi tinggi untuk merapatkan saf dan menyatukan kekuatan dalaman serta memperkukuh jalinan bersama rakan-rakan gabungan.
“Insya-Allah langkah berani ini akan disahut oleh seluruh kepimpinan dan anggota parti untuk bergerak maju membawa harapan rakyat untuk Malaysia yang lebih baik untuk semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE