fbpx

‘Penunggu’ 410kg Sungai Batu Pahat kena tangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUAYA seberat 410kg berjaya ditangkap di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Kampung Parit Gantong Laut, Parit Lapis Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Seekor buaya betina seberat 410 kilogram (kg) dipercayai ‘penunggu’ Sungai Batu Pahat berjaya ditangkap sekumpulan anak muda di Kampung Parit Gantong Laut, di sini awal pagi tadi.

Azmil Sahman, 38, berkata, buaya yang pada mulanya disangkakan biawak itu dilihat merangkak perlahan dalam kebun kelapa sawit berhampiran sebuah parit.

Katanya, berbekalkan keberanian bersama enam orang kawan, mereka bertindak menjerut mulut dan kaki serta menutup mata reptilia itu selepas melihat keadaannya yang agak lemah.

“Buaya tersebut dianggarkan berusia 100 tahun mengikut maklumat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta berat sekitar 410 kilogram (kg) dengan panjang kira-kira 4.5 meter.

“Buaya berkenaan dikatakan sudah beberapa kali ditemui di kebun kelapa sawit berkenaan sejak akhir-akhir ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, Rahman Bugel, 57, berkata, sebelum ini penduduk pernah terjumpa telur dipercayai milik spesis berkenaan dalam kebun kelapa sawit berhampiran kampung.

Ujarnya, selain telur, mereka juga pernah melihat anak-anak buaya sekitar kawasan parit dalam kebun berkenaan beberapa tahun lalu, namun dibiarkan kerana tidak mengancam keselamatan penduduk.

“Saya pernah jumpa tujuh biji telur buaya, namun dibiarkan menetas sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI