fbpx

Pemandu van sekolah mengaku tidak bersalah sebabkan kematian budak 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHEE WENG ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat, hari ini. - Foto oleh ADNAN IBRAHIM

BATU PAHAT – Seorang pemandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki lima tahun yang tertinggal di dalam van sekolah, akhir bulan lalu.

Tertuduh, Yau Chee Weng, 56, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Khalid Ab Karim.

Chee Weng dituduh telah meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun 2 bulan sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia di dalam sebuah motovan di hadapan sebuah tadika di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, kira-kira 8 pagi hingga 12.05 tengah hari, 30 April lalu.

Tambahan kepada hukuman, merujuk kepada Seksyen 31(2) mahkamah hendaklah memerintahkan orang yang disabit menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk untuk berkelakuan baik selama satu tempoh yang sesuai dan melaksanakan khidmat masyarakat tidak kurang dari 36 jam daan tidak lebih daripada 240 jam secara agregat dan hendaklah dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari tarikh perintah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Goh Toh Jen.

Mohamad Khalid membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara beserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi atau mangsa sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

12 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

Pada 1 Mei lalu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas tertinggal dalam van sekolah selama lebih empat jam di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M. Kumarasan dilaporkan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam van itu kira-kira pukul 12 tengah hari selepas dipercayai tertinggal di dalam van sekolah berkenaan ketika pemandu kenderaan itu menurunkan pelajar di hadapan sekolah pada hari sama, kira-kira pukul 7.30 pagi.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu van sekolah di kawasan Taman Bukit Indah pada pukul 2.40 petang hari yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI