GEORGE TOWN – Dua pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah bernilai RM54,000 pada tahun lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini oleh Hakim Juraidah Abbas.
Kedua-dua suspek yang berusia 35 dan 62 tahun itu sampai ke Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pada pukul 8.49 pagi dan dilihat meninggalkan mahkamah pada pukul 10.02 pagi dengan memakai baju lokap oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Menurut sumber, kedua-dua suspek didakwa menerima wang rasuah daripada seorang individu bernilai RM54,000 sebagai balasan membuat permohonan lesen penjaja sementara sempena Tahun Baharu Cina 2024. – KOSMO! ONLINE