WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan membiayai kos perjalanan pulang serta menawarkan pembayaran sebanyak AS$1,000 (RM4,200) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara itu yang secara sukarela kembali ke tanah air mereka.
Trump berkata, sejumlah PATI yang menyertai program pengusiran sukarela itu akan dibenarkan kembali secara sah ke AS pada masa akan datang.
“Kami akan membayar setiap seorang sejumlah wang dan membawa mereka menaiki penerbangan yang indah, kembali ke tempat asal mereka.
“Kami akan bekerjasama dengan mereka supaya mungkin suatu hari nanti, dengan sedikit (peluang) kerja, mereka boleh datang semula (ke AS).
“Ia akan memberi mereka laluan untuk kembali ke negara ini,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di White House, Washington kelmarin.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem yang mengumumkan skim itu berkata, pengusiran sukarela adalah cara terbaik untuk menghantar PATI pulang.
Katanya, ia juga adalah cara paling selamat dan kos efektif untuk meninggalkan AS bagi mengelakkan PATI daripada ditahan.
“Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menawarkan bantuan kewangan perjalanan bagi pendatang haram dan pembayaran untuk pulang ke negara asal mereka melalui aplikasi Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) Home,” katanya.
CBP Home dibangunkan oleh DHS yang mana melaluinya, orang ramai boleh menyertai program pulang ke negara asal secara sukarela.
“Muat turun aplikasi CBP Home hari ini dan pulang ke negara anda secara sukarela,” kata Noem.
Menurut DHS, di bawah program itu, wang sebanyak AS$1,000 akan dibayar selepas PATI sampai di negara asal mereka yang disahkan melalui aplikasi tersebut.
“Program pulang secara sukarela adalah cara bermaruah untuk meninggalkan AS dan akan membolehkan PATI mengelak daripada terserempak dengan Penguat Kuasa Imigresen dan Kastam (ICE).
“Migran yang menyerahkan notis Niat untuk Berlepas untuk pulang secara sukarela dalam skim itu akan dilucutkan keutamaan untuk penahanan dan pengusiran sebelum mereka berlepas,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Menurut DHS, walaupun melibatkan pembayaran, ia menjangkakan program itu mampu mengurangkan kos pengusiran sekitar 70 peratus.
Jabatan itu berkata, kos purata pada masa ini untuk menangkap, menahan dan memindahkan PATI ialah sekitar AS$17,121 (RM72,460).
Menurut anggaran Pusat Penyelidikan Pew berdasarkan data daripada Biro Banci, Tinjauan Komuniti Amerika, bilangan PATI di AS adalah 11 juta orang pada tahun 2022. – AFP