PUTRAJAYA – Datin Seri Pamela Ling Yueh pernah dikeluarkan waran tangkap daripada Mahkamah Majistret Putrajaya ekoran gagal mematuhi perintah menghadiri pemeriksaan bagi tujuan melengkapkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2 Disember lalu.
Menjelaskan kronologi itu, SPRM berkata, susulan itu, satu tindakan operasi bersama pihak Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) Singapura dilancarkan dan Pamela ditahan secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia pada 8 Januari lalu.
“Pada 9 Januari, Pamela telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman.
“Permohonan reman telah dibenarkan selama tiga hari iaitu dari 9 sehingga 11 Januari 2025. Selepas tamat tempoh reman, beliau dilepaskan dengan ikat jamin SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
SPRM berkata, pada 9 April lalu, pihaknya meminta Pamela untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi meneruskan rakaman percakapan lanjutan maklumat baharu yang diperolehi oleh SPRM.
Katanya, SPRM mendapat izin dan perintah daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan dokumen perjalanan Pamela melalui serahan Notis Penyerahan Dokumen Perjalanan Seksyen di bawah Seksyen 44 (1) Akta SPRM 2009.
“Bagaimanapun, Pamela gagal hadir pada hari tersebut dan peguamnya kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada hari sama,” katanya.
Sebelum ini, Pamela dan suami, Datuk Seri Hah Tiing Siu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dimulakan pada Mei 2024 di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Susulan itu, SPRM berkata, pihaknya telah bertindak mengikut kerangka undang-undang termasuk mendapatkan semua perintah mahkamah diperlukan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Katanya, dakwaan wujudnya gangguan atau salah laku adalah tidak berasas.
“Semakan kehakiman yang difailkan oleh Pamela sebelum kehilangannya tidak menafikan atau membatalkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki.
“Cabaran perundangan adalah hak mana-mana individu tetapi ia tidak mengganggu perjalanan penguatkuasaan mengikut proses perundangan yang ditetapkan,” katanya.
Sejak laporan kehilangan Pamela, SPRM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengetuai siasatan tersebut.
“Sehubungan itu, SPRM berharap semua pihak mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Pada peringkat ini, keutamaan ialah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa agar usaha mengesan dan membawa pulang Pamela dapat dijalankan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINEn