SKUAD boling padang negara diingatkan supaya tidak leka dengan kejayaan mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 dan Bawah 25 Tahun (B-25) ke-14 di Clark, Filipina baru-baru ini.
Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, cabaran sebenar menanti barisan atlet negara di pentas dunia termasuk Piala Dunia di Hong Kong pada November dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow nanti.
“Jangan terlalu selesa. Kita memang juara Asia, tapi bila masuk gelanggang dunia, suasana berubah. Pasukan terbaik dunia seperti Australia, England, Scotland, New Zealand semuanya tunggu kita di sana,” katanya.
Awalan menyifatkan kemasukan atlet boling padang dalam Program Podium kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai pemangkin utama kejayaan kali ini.
“Inisiatif ini memperkukuh keseluruhan ekosistem pembangunan atlet. Mereka kini terima akses penuh kepada sains sukan, perubatan, pemantauan kesihatan serta latihan kecergasan, elemen penting untuk lahirkan juara dunia.
“Kita berada di landasan yang betul. Dengan sistem sokongan kukuh dan hala tuju jelas, saya yakin boling padang Malaysia akan terus unggul di pentas antarabangsa,” katanya yang ditemui Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Beliau turut menegaskan kejayaan tersebut bukan hadir secara kebetulan, tetapi hasil usaha terancang serta kerjasama menyeluruh antara semua pihak.
Bagaimanapun, Awalan memberi peringatan lokasi pertandingan antarabangsa sangat berbeza dan Malaysia bakal berdepan cabaran baharu di padang rumput sebenar serta portable indoor rink sepertimana digunakan di Glasgow.
“Kita sudah dapat kelulusan bina portable rink di Bukit Kiara, sama seperti gelanggang Sukan Komanwel. Itu langkah penting supaya pemain tak kekok nanti,” tambahnya.
Awalan juga mendedahkan Malaysia bakal menyertai lima kejohanan utama termasuk Terbuka Australia, Piala Lion’s City dan Hong Kong Classic sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia serta Komanwel Glasgow 2026.