KOTA BHARU – Jumlah individu yang merentas Sungai Golok menggunakan pangkalan haram menurun sebanyak 55,126 orang sejak kawalan ketat di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dilaksanakan pada 1 Disember lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, statistik pembolosan iaitu individu yang merentas Sungai Golok itu mencatatkan penurunan yang ketara iaitu sebanyak 95.5 peratus.
“Statistik pembolosan menunjukkan penurunan ketara daripada 57,722 orang kepada 2,596 orang dengan jumlah penurunan sebanyak 55,126 orang.
“Bagi rampasan dadah pula, sejumlah lebih RM12.7 juta pelbagai jenis dan telah dirampas bermula Disember 2024 sehingga April lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, jumlah itu menunjukkan penurunan drastik berbanding lebih RM61.6 juta atau bersamaan -79% pada Julai sehingga November tahun lalu.
Menurutnya, secara kesimpulannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan berjaya mengekang pembolosan dan penyeludupan dadah melalui pangkalan haram.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat tempatan yang pulang ke negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember lalu.
Mohd. Yusoff berkata, penguatkuasaan itu merupakan satu langkah untuk memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.
Menurutnya, justeru, rakyat Malaysia akan ditangkap semasa mereka menjejakkan kaki di negara ini selepas pulang dari Thailand melalui pangkalan haram.
“Undang-undang menerusi Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 sudah ada, cuma kita akan lebih menguatkuasakan akta itu pada 1 Disember.
“Kita akan tangkap rakyat Malaysia yang masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan. Bukan hanya rakyat tempatan, warga asing seperti Thailand dan Myanmar juga akan dikenakan tindakan sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE