MINGGU lalu Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif memberi amaran kepada rakyat negara kita agar keluar segera dari Mekah jika tiada visa haji yang sah.
Ini berikutan kerajaan Arab Saudi memperketatkan peraturan melarang individu menunaikan haji tanpa permit yang sah.
Jika ditahan besar natijahnya. Andai pelakunya adalah individu, dia berdepan tindakan tegas antaranya ditahan, didenda, diusir serta disenarai hitamkan oleh pihak Arab Saudi.
Individu itu boleh didenda sehingga 20,000 Riyal Saudi (RM22,575). Mereka juga berdepan denda maksimum 100,000 Riyal Saudi (RM112,800) jika membantu pelanggaran ini, termasuk memohon visa bagi pihak lain, menyediakan pengangkutan, penempatan, menyembunyikan atau memberikan sebarang bentuk bantuan.
Selain itu, pelawat yang tinggal melebihi tempoh sah serta cuba menunaikan haji tanpa permit akan dihantar pulang serta diharamkan daripada memasuki negara itu selama 10 tahun.
Demikian tegasnya arahan dikeluarkan Arab Saudi tahun ini. Kita tidak boleh nafikan ada segelintir golongan sebegini di negara kita. Istilah yang digunakan adalah haji DIY.
Tahun lalu, dilaporkan lebih 1,300 orang meninggal dunia dengan kebanyakan maut akibat tekanan haba serta perjalanan tidak sah.
Insiden melibatkan rakyat Tunisia, Mesir dan Indonesia itu kebanyakannya membabitkan golongan individu yang menunaikan haji tanpa permit dan visa yang sah.
Lebih memburukkan keadaan, kedegilan seorang dua rakyat kita ini boleh mengakibatkan hubungan Arab Saudi dengan Malaysia terjejas.
Contohnya baru-baru ini apabila Arab Saudi mengenakan larangan terhadap visa umrah, perniagaan dan visa keluarga bagi 14 negara menjelang musim haji sehingga pertengahan Jun depan.
Negara-negara terbabit adalah Pakistan, India, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iraq, Nigeria, Jordan, Algeria, Sudan, Ethiopia, Tunisia, Maghribi dan Yemen.
Kerajaan Malaysia sendiri memandang serius perkara ini seperti amaran dikeluarkan Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah tersebut. Beliau menekankan agar rakyat Malaysia mematuhi peraturan-peraturan berkaitan haji dan umrah.
Satu langkah ‘kecil’ boleh memburukkan hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi.
Ambil iktibar daripada kisah-kisah disiarkan media berhubung ada jemaah mengumpul wang berpuluh-puluh tahun semata-mata ingin ke Tanah Suci.
Tidak salah andainya rakyat Malaysia yang ingin mengerjakan haji, pergi dengan cara yang mengikut peraturan sama ada di bawah Tabung Haji (TH) atau menerusi 25 pengendali haji berdaftar di bawah TH.
Alangkah baiknya ibadah ini dibuat dalam keadaan tubuh badan serta hati tenang, selamat dan selesa.














