LONDON – Penjaga gol Southampton, Aaron Ramsdale hampir pasti akan meninggalkan kelab tersebut pada musim panas ini selepas mereka tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.
Pemain berusia 26 tahun itu menyertai The Saints pada Ogos tahun lalu dengan nilai £18 juta (RM100.52 juta), namun nilainya berpotensi meningkat sehingga £25 juta (RM139.61 juta) ketika dia dilapor berminat untuk kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ketika ini, dua pasukan EPL, Manchester United dan West Ham United dilaporkan bersedia untuk merealisasikan impian Ramsdale untuk kekal dalam saingan utama dengan mendapatkan khidmatnya.
Laporan mengenai kemungkinan Ramsdale meninggalkan St. Mary diperkuatkan lagi dengan berita mengenai minat Southampton untuk mendapatkan penjaga gol Sunderland, Anthony Patterson.
Selain itu, Southampton juga turut berminat mendapatkan khidmat penjaga gol Angers, Yahia Fofana sekali gus memberi bayangan bahawa Ramsdale bakal bertukar pasukan menjelang saingan musim baharu.
Selain Southampton, Ramsdale memiliki dua kali pengalaman bermain dengan kelab yang kemudiannya tersingkir ke Liga Kejuaraan selepas menyertai Bournemouth pada 2020 dan bersama Sheffield United pada tahun berikutnya.
Bagaimanapun, dia berjaya membuktikan kualiti ketika bersama Arsenal apabila membantu pasukan itu mencabar kejuaraan EPL sebelum ini, namun kehadiran David Raya di Emirates menyebabkan khidmatnya tersisih sepanjang musim lalu sebelum ke Southampton. – AGENSI