LIVERPOOL – Legenda Arsenal, Ian Wright mendakwa perpindahan Milos Kerkez ke Liverpool sudah pun dimuktamadkan meskipun belum ada pengumuman rasmi daripada kedua-dua kelab setakat ini.
Pemain sayap berusia 21 tahun itu mencuri tumpuan musim ini selepas mempamerkan aksi konsisten bersama Bournemouth dan disenarai sebagai calon utama menggantikan Andy Robertson sebagai bek kiri jangka panjang The Reds.
Difahamkan, Liverpool bersedia membayar £45 juta (RM253.78 juta) untuk mendapatkan tonggak pertahanan Hungary itu iaitu tiga kali ganda daripada harga asal ketika Bournemouth membelinya daripada AZ Alkmaar tahun lalu.
“Saya rasa Kerkez ke Liverpool dah selesai. Dah terlalu banyak cakap-cakap sebelum ini. Sayang juga buat Bournemouth,” kata Wright.
Kerkez tampil meyakinkan di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dianggap antara pertahanan kiri terbaik musim ini iaitu sesuatu yang mendorong Liverpool bergerak pantas sebelum servisnya diburu kelab lain.
Berdasarkan laporan, perpindahan itu antara langkah awal Arne Slot untuk memperkukuh juara baharu EPL itu yang dijangka melalui beberapa rombakan musim panas ini.
Sementara itu, Michael Owen turut menjangka Bournemouth bakal berdepan musim perpindahan yang mencabar memandangkan beberapa pemain utamanya termasuk Antoine Semenyo dan Dean Huijsen turut mendapat perhatian gergasi-gergasi Eropah lain.
“Mereka ada skuad yang sangat berbakat. Agak sukar untuk pertahankan pemain utama musim panas nanti,” ujar Owen.
Setakat ini, Liverpool dan Bournemouth masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, namun peminat sudah mula berspekulasi Kerkez bakal diumumkan sebaik jendela perpindahan kembali dibuka Julai ini. – AGENSI