PETALING JAYA – Pernah melalui episod duka dalam rumah tangga, ahli perniagaan Raf Yaakob kurang senang dengan tindakan segelintir pihak menjaja aib perkahwinan dalam media sosial.
Raf atau nama lengkapnya Raden Ahmad Faizal Yaakob, 40, menasihatkan agar setiap individu menyimpan kemas kisah peribadi.
“Benda fasal pasangan hidup, tidak kisah lah masih bersama atau tidak, simpan saja dalam hati.
“Tidak perlu gunakan media sosial untuk luahkan atau gaduh.
“Saya faham kadang-kadang kalian nak beritahu sebab nak pertahankan diri sebab kena fitnah tetapi percaya pada saya, diam dan sabar saja,” katanya dalam Threads.
Dalam masa sama, adik kepada penyanyi Datuk Fazley Yaakob itu memaklumkan individu yang sabar akan menerima ganjaran sama ada di dunia mahupun akhirat.
“Kebenaran akan terungkap juga. Jika bukan kebenaran pun, kalian menang di akhirat.
“Hidup kita di dunia ini untuk kita cari bekalan akhirat. Kalau sabar salah satunya, maka biarlah begitu,” ujarnya.
Pada November 2023, bekas isterinya, pelakon Mawar Rashid mengesahkan sudah berpisah dengan atas dasar tiada persefahaman.
Sehingga kini, kedua-dua mereka dilihat tidak memburukkan sesama sendiri walaupun sudah bercerai. – KOSMO! ONLINE